What is Nostr?
Highlights (RSS Feed) /
npub1ejx…0pth
2023-12-15 11:21:21

Highlights (RSS Feed) on Nostr: **9,542 premis positif pembiakan nyamuk Aedes di Melaka** ...

**9,542 premis positif pembiakan nyamuk Aedes di Melaka**



**MELAKA**: Sebanyak 9,542 premis di Melaka dikesan positif sebagai lokasi pembiakan nyamuk Aedes hasil pemeriksaan setakat tempoh minggu epid (ME) 49, menurut Pengarah Kesihatan negeri Datuk Dr Rusdi Abdul Rahman.

Beliau berkata jumlah itu melibatkan 11 peratus daripada 86,911 premis yang telah diperiksa mengikut Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit (APSPP) 1975.

“Jabatan Kesihatan negeri memandang serius terhadap perkara ini kerana ia boleh membawa kepada penularan penyakit demam denggi di samping sentiasa menjalankan pelbagai aktiviti pencegahan dan kawalan serta penguatkuasaan.

“Justeru kerjasama masyarakat adalah amat diharapkan khususnya terhadap anggota Kesihatan yang menjalankan aktiviti pemeriksaan tempat pembiakan di rumah atau premis perniagaan dan tindakan menghalang mereka menjalankan tugas merupakan satu kesalahan,“ katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dr Rusdi berkata kesalahan itu boleh dihukum di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

Katanya pada 12 Dis lepas Mahkamah Majestret Alor Gajah, Melaka telah menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM3,000 atau tiga bulan penjara sekiranya gagal membayar denda terhadap seorang Orang Kena Saman (OKS).

Katanya ia berdasarkan kesalahan menghalang tugas dan enggan memberikan kerjasama terhadap anggota kesihatan dari Pejabat Kesihatan Daerah Alor Gajah yang menjalankan aktiviti pemeriksaan tempat pembiakan di rumah OKS.

“Jabatan Kesihatan negeri memohon masyarakat agar sentiasa memberikan kerjasama terhadap anggota Kesihatan yang menjalankan tugas pemeriksaan tempat pembiakan.

“Masyarakat juga perlulah memastikan tiada pembiakan nyamuk Aedes di persekitaran rumah dengan meluangkan masa sekurang-kurangnya 10 minit seminggu untuk mencari dan memusnahkan tempat pembiakan nyamuk Aedes,“ katanya yang turut memaklumkan sehingga ME 49, sebanyak 1,115 kes Denggi didaftarkan di Melaka. - _Bernama_

https://thesun.my/cerita/9542-premis-positif-pembiakan-nyamuk-aedes-di-melaka-PP11872591
Author Public Key
npub1ejx4qgkluz8mw0yl6e2xn5uk0ax90dn780dln0kf38pdzyqyh8dsx70pth