What is Nostr?
Highlights (RSS Feed) /
npub1ejx…0pth
2023-12-15 10:58:08

Highlights (RSS Feed) on Nostr: **Imigresen tahan 56 warga asing di Johor** ...

**Imigresen tahan 56 warga asing di Johor**



**JOHOR BAHRU**: Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Johor menahan 56 warga asing dalam satu operasi Ops Mahir di sebuah tapak pembinaan di Sedenak di sini semalam.

Pengarahnya, Baharuddin Tahir berkata dalam serbuan kira-kira 2.55 petang itu seramai 318 individu warga tempatan dan warga asing telah diperiksa dan 56 daripadanya telah ditahan.

“Lima puluh enam yang di tahan melibatkan 13 lelaki warga China, 12 lelaki warga Pakistan, 12 lelaki warga Bangladesh, lapan lelaki warga Indonesia, tujuh lelaki warga Myanmar, tiga lelaki warga India dan seorang lelaki warga Nepal dan kesemuanya berusia dalam lingkungan 21 tahun hingga 48 tahun.

Ketika serbuan terdapat cubaan melarikan diri, bersembunyi di bawah kren dan di dalam longkang untuk mengelak diri daripada ditahan,“ katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata serbuan itu dilakukan adalah hasil risikan setelah menerima aduan awam mengenai kewujudan warga asing yang didapati tidak memiliki permit atau pas yang sah.

Baharuddin berkata, kesemua yang ditahan dipercayai telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah dan Seksyen 15(1)(c) akta sama iaitu tinggal lebih masa.

Katanya, mereka juga didapati melakukan lain-lain kesalahan yang melanggar Peraturan 11(7)(a) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 iaitu salah guna Pas Lawatan Sosial (PLS) dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat pas yang ditetapkan.

“Kesemua tahanan ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Orang ramai digesa menyalurkan maklumat tentang warga asing atau sebarang aktiviti warga asing yang menyalahi undang-undang,“ katanya. - _Bernama_

https://thesun.my/cerita/imigresen-tahan-56-warga-asing-di-johor-BP11872443
Author Public Key
npub1ejx4qgkluz8mw0yl6e2xn5uk0ax90dn780dln0kf38pdzyqyh8dsx70pth