What is Nostr?
Highlights (RSS Feed) /
npub1ejx…0pth
2023-12-16 06:44:25

Highlights (RSS Feed) on Nostr: **Lebih 40 aktiviti di Xporia Sains 2023, sasar 40,000 pengunjung** ...

**Lebih 40 aktiviti di Xporia Sains 2023, sasar 40,000 pengunjung**



**KUALA LUMPUR**: Pusat Sains Negara (PSN) menyasarkan kehadiran 40,000 pengunjung sempena program Xporia Sains 2023 yang berlangsung di PSN Kuala Lumpur di sini dan PSN Wilayah Utara di Alor Setar, Kedah mulai hari ini hingga Isnin (18 Dis).

Pengarah PSN Mohammad Fuad Rahman berkata lebih 40 aktiviti berkonsepkan sains ditawarkan kepada pengunjung bagi merasai pengalaman yang mengujakan di PSN bersama seisi keluarga sempena cuti sekolah kali ini.

Beliau berkata Xporia Sains 2023 dikenali sebagai PSN SciFest merupakan acara kemuncak tahunan PSN yang diadakan di dua PSN itu.

“Program berkonsepkan festival ini merupakan satu penghargaan kepada penglibatan masyarakat terhadap program yang telah dilaksanakan di PSN.

“Kita mengharapkan agar segala usaha pembudayaan sains yang telah dijalankan mampu meningkatkan literasi sains dalam kalangan masyarakat,“ katanya ketika berucap dalam majlis perasmian program itu, yang dirasmikan Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Datuk Dr Aminuddin Hassim di PSN Kuala Lumpur hari ini.

Antara aktiviti yang disediakan dalam program Xporia Sains 2023 adalah Ceritera Sebalik Radas, Garaj Robot, Momentum Extreme, Solusi Sains, Sains Situ Sana Sini, Zon Teknofutura, Sukaneka Sains, Sudut e-Sport dan penampilan khas bersama maskot Mechamato.

Sementara itu, Aminuddin berharap Xporia Sains 2023 dapat memberi pengalaman pembelajaran yang lebih bermakna dan menyeronokkan serta inspirasi kepada masyarakat untuk meminati dan seterusnya menceburi bidang sains, teknologi dan inovasi (STI).

“Kita berharap program ini akan menjadi pencetus bagi mencungkil lebih ramai bakat dan kreativiti dalam STI kerana mereka (pengunjung) boleh bermain dan berseronok dengan sains,“ katanya.

Dalam pada itu, Aminuddin berkata seramai 1.2 juta orang telah mengunjungi PSN Kuala Lumpur dan PSN Wilayah Utara sehingga 31 Nov lepas.

Beliau berkata peningkatan jumlah itu selaras dengan inisiatif dan pengumuman Kementerian Pendidikan (KPM) yang menggalakkan sekolah menganjurkan lawatan pendidikan sebagai sebahagian daripada pengukuhan proses pengajaran dan pembelajaran (P&P).

“Sambutan kunjungan yang ramai merupakan satu indikator positif yang menunjukkan keberhasilan implementasi dan relevansi inisiatif program STI yang dilaksanakan oleh PSN,“ katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarang Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Nur-ul Afida Kamaluddin yang turut hadir pada majlis itu berkata sebagai rakan kerjasama strategik, agensi itu akan terus mendukung apa jua usaha yang dilaksanakan PSN sebagai usaha memajukan lagi masyarakat dalam bidang STI.

“Alhamdulillah, kami berterima kasih kepada MOSTI khususnya PSN kerana memberi kami penghargaan besar dan mengiktiraf kerjasama yang telah Bernama berikan kepada PSN sehingga hari ini.

“Insya-Allah, kita akan terus memberi ruang dan peluang kepada PSN untuk berkongsi apa juga program dan aktiviti yang boleh memanfaatkan masyarakat secara keseluruhannya,“ katanya. - _Bernama_

https://thesun.my/cerita/lebih-40-aktiviti-di-xporia-sains-2023-sasar-40000-pengunjung-JP11874814
Author Public Key
npub1ejx4qgkluz8mw0yl6e2xn5uk0ax90dn780dln0kf38pdzyqyh8dsx70pth