What is Nostr?
Highlights (RSS Feed) /
npub1ejx…0pth
2023-12-17 07:55:31

Highlights (RSS Feed) on Nostr: **Pengasingan Kementerian Komunikasi, digital beri fokus khusus sektor ekonomi ...

**Pengasingan Kementerian Komunikasi, digital beri fokus khusus sektor ekonomi digital - Fahmi**



**KUALA LUMPUR**: Pengasingan Kementerian Komunikasi dan Kementerian Digital susulan rombakan Kabinet pada Selasa lepas adalah bagi memberi fokus khusus terhadap kemajuan sektor ekonomi digital negara.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata ia berikutan terdapat keperluan bagi menyelaras dasar dalaman untuk memperkasakan sektor itu.

Beliau menjelaskan pengasingan kementerian itu susulan sesi perbincangannya dengan pasukan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, selepas beliau mendapati terdapat beberapa aspek yang perlu diselaraskan sepanjang menerajui Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) berikutan sektor ekonomi digital sebelum ini merentasi empat kementerian.

“Dari segi startup dan venture capital, itu berada dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, bagi skillup dan mewujudkan kilang pula di bawah Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), yang berada dalam KKD waktu itu. Dari segi pelaburan ia diusahakan oleh Malaysian Investment Development Authority (MIDA) di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri, manakala pelaporan melibatkan MyDigital Corp berada dengan Kementerian Ekonomi.

“Jadi apabila berbincang dengan industri, terdapat sedikit kegusaran, apabila ada empat kementerian usahakan isu sama. Maka saya sampaikan kepada Perdana Menteri - apa kata kita kumpulkan semua agensi di bawah satu kementerian khusus,“ katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan program Reuse, Educate, Burture and Empower with Waste (R.E.N.E.W) anjuran Institut Pengajian Profesional Pendidikan Berterusan (iCEPS) Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Dataran Sri Angkasa Jaya di sini hari ini.

Fahmi seterusnya menafikan dakwaan pengasingan kementerian itu bagi menyelamatkan karier politiknya.

“Ada beberapa pihak yang menuduh saya gagal laksana tugas sebagai Menteri Komunikasi dan Digital, dan dipecahkan (kementerian), serta diselamatkan nyawa politik saya. Ini sebenarnya tidak betul.

“Kalau lihat agihan agensi ketika ini, daripada 11 atau 12 agensi bawah Kementerian, yang kekal dengan Kementerian Komunikasi ini adalah lapan agensi termasuk satu agensi luar dimasukkan menjadikannya sembilan agensi, termasuk Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM). Maka, majoriti masih bersama Kementerian Komunikasi,“ katanya.

Selain itu, beliau menyokong pandangan Menteri Digital Gobind Singh Deo dalam Mesyuarat Majlis Ekonomi Digital dan 4IR pada Jumaat lepas bahawa terdapat keperluan bagi menyelaraskan dasar bukan hanya melalui Majlis tetapi dalam Kementerian Digital itu sendiri.

Fahmi turut menjangkakan senarai akhir bagi penempatan agensi di bawah kedua-dua kementerian itu akan dimuktamadkan menjelang Januari ini.

Selain itu, beliau yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata langkah mengasingkan kementerian dilihat penting berikutan sektor ekonomi digital negara dijangkakan menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mencecah 25.5 peratus menjelang tahun 2025.

Fahmi berkata begitu juga dengan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) yang diasingkan kepada dua kementerian iaitu Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam, dan Kementerian Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam, juga bagi memberi fokus kepada beberapa perkara tertentu.

“Perdana Menteri tegaskan tiada ‘honeymoon period’, hit the ground running. Bererti semua menteri perlu bekerja, jadi saya lihat pengasingan ini akan dapat memberi fokus,“ katanya.

Mengambil contoh Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) dikeluarkan daripada Jabatan Perdana Menteri dan dijadikan agensi utama di bawah Kementerian Digital, beliau berkata perkara itu mampu meningkatkan taraf dan kedudukan MAMPU serta ketua pengarahnya sebagai agensi yang menyelaras semua usaha pendigitalan.

Katanya usaha itu mencerminkan keutamaan dan fokus kerajaan dalam aspek pendigitalan ke arah memperkasakan ekonomi negara. - Bernama

https://thesun.my/cerita/berita/pengasingan-kementerian-komunikasi-digital-beri-fokus-khusus-sektor-ekonomi-digital-fahmi-HP11877563
Author Public Key
npub1ejx4qgkluz8mw0yl6e2xn5uk0ax90dn780dln0kf38pdzyqyh8dsx70pth